PENDIRIAN Umno menolak kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah selari keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 19 Februari lalu, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, Umno jelas dengan pendirian PAS untuk mengekalkan gabungannya bersama Perikatan Nasional (PN), manakala di peringkat Barisan Nasional (BN) pula akan meneruskan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).
“Tetapi dengan Bersatu setakat hari ini keputusannya seperti yang diputuskan oleh MKT iaitu bekerjasama sehingga PRU dan selepas itu kita tidak bekerjasama.
“Kalau ada sebarang perubahan akan diumumkan oleh Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), tapi setakat hari ini itulah keputusannya (tolak kerjasama dengan Bersatu),” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata demikian kepada media selepas melawat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Md Salleh Ahamad sempena program Cakna Veteran ATM di Pantai Johor di Alor Setar, semalam.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata susulan ketetapan oleh MKT, sebarang perubahan akan dibuat dalam mesyuarat tersebut dan mana-mana pihak dalam Umno tidak boleh membuat keputusan berbeza.
“Satu lagi Perhimpunan Agung (PAU) yang akan diadakan pada 28 Mac. Di PAU pun sebarang keputusan boleh dibuat. Ini kerana PAU merupakan autoriti tertinggi di dalam parti.
“Ia boleh reverse (menterbalikkan) keputusan MKT sekali pun. Kita tunggulah… setakat hari ini kekal seperti yang diputuskan,” katanya yang tidak menolak kemungkinan usul menamatkan kerjasama dengan Bersatu akan dibincang dalam PAU.
Pada 4 Mac lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan MKT Umno sebulat suara bersetuju untuk Presiden parti mengutuskan surat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ia bagi menyatakan keputusan bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU15 dan Umno berpendapat, kebersamaan dalam kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen. – Malaysiapost

