Meriam zaman komunis dijumpai di ladang kelapa sawit

0
1

SATU objek dipercayai meriam dijumpai pekerja ladang sewaktu menjalankan kerja-kerja mengutip buah kelapa sawit di kawasan Blok P052 ladang Sepang Loi, Segamat semalam.

Penolong pengurus ladang kemudian bertindak memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis.

Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama anggota UPB IPD Segamat telah menjalankan tindakan pemusnahan bom lama ataupun Unexploded Ordnance (UXO) jenis Meriam Artillery 85 MM pada kira-kira jam 3.45 petang itu.

Polis Johor dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa objek tersebut adalah dari jenis Meriam Artillery 85 MM berdasar saiz objek yang dijumpai.

Katanya, objek itu disahkan telah dilancarkan namun gagal berfungsi setelah selesai pemeriksaan oleh pihak UPB.

“Pihak UPB IPK Johor mempercayai objek tersebut dilancarkan semasa menentang komunis oleh pihak berkuasa.

“Operasi pembersihan keselamatan bagi memastikan kawasan tersebut selamat dan benar-benar bebas dari sebarang bahan letupan lain dilakukan oleh UPB IPK Johor,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tindakan pemusnahan objek UXO berkenaan telah dijalankan secara In Situation (In-situ) dengan menggunakan teknik high order melalui kaedah elektrik tanpa sebarang kehilangan ke atas nyawa dan kerosakan harta benda.

Sehubungan itu, Polis Johor turut merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan ladang yang membantu sepanjang proses pemusnahan dijalankan.

“Kami menyeru orang ramai sekiranya menjumpai objek yang mencurigai atau dipercayai bom, sila laporkan segera kepada mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan siasatan lanjut,” katanya.

Dalam masa sama, Polis Johor juga memberikan peringatan kepada orang ramai supaya jangan diusik, dialih atau digerakkan objek tersebut bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

PDRM Johor sentiasa bersedia pada bila-bila masa membantu masyarakat dalam menangani sebarang insiden melibat bahan letupan sekiranya diperlukan. –Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here