Akibat dendam lama, lelaki maut ditikam

0
1

SEORANG lelaki maut, manakala seorang lagi cedera parah dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Jalan Telawi, Bangsar, tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang terbunuh berusia 28 tahun dilaporkan sedang berjalan kaki bersama rakannya ke tempat letak kereta selepas minum di sebuah restoran di kawasan berkenaan, lapor Berita Harian.

Ketika berjalan ke kenderaannya, mangsa terjumpa dengan suspek yang dipercayai mempunyai dendam lama sebelum berlaku pertengkaran.

Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan serius dipercayai akibat ditoreh dengan senjata tajam, selain ditikam dengan botol minuman keras.

Mangsa kemudian melarikan diri ke arah sebuah pusat beli-belah sebelum terbaring di hadapan sebuah kedai serbaneka sebelum dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya.

Dia kemudian disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di PPUM.

Seorang lagi lelaki berusia 30 tahun pula cedera parah di bahagian muka sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sumber juga berkata, mangsa dan suspek yang terbabit dalam kejadian itu dilaporkan mengenali antara satu sama lain dan tinggal di kawasan sekitar Selayang dan Taman Wahyu, di Kuala Lumpur.

Difahamkan, pada masa ini, polis mengesan lima lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Terdahulu, video pergaduhan tersebut yang dipercayai dirakam oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian didapati tular dalam media sosial.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here