SEORANG pengawal keselamatan ditahan selepas didakwa terlepas tembakan ketika berada dalam sebuah bank di Api-Api Centre, Kota Kinabalu hari ini.
Dalam kejadian jam 7.55 pagi tadi, pengawal keselamatan itu dikatakan tidak sengaja berbuat demikian dan tembakan hanya terkena lantai bank tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata pihaknya menerima laporan daripada pihak pengurusan bank pada jam 10.45 pagi.
Katanya, sebaik menerima laporan, sepasukan penyiasat dan forensik dikerah ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Senjata api yang digunakan pengawal keselamatan ini adalah jenis shotgun laras panjang.
“Bagaimanapun, kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kematian,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata, pengawal keselamatan berusia 50-an itu ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

