Lelaki kemurungan 10 tahun mati gantung diri

0
1

SEORANG lelaki berusia 32 tahun yang menghidapi penyakit kemurungan sejak 10 tahun lalu ditemui mati tergantung dalam bilik di kediamannya di Kampung Juru Bukit Tengah, Bukit Mertajam, semalam. 

Kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, disedari abang lelaki terbabit. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata abang lelaki itu yang mempunyai masalah penglihatan, kehairanan kerana adik lelakinya tidak keluar bilik sejak pagi semalam. 

“Apabila dia membuka pintu bilik adiknya itu, dia menyedari adiknya dalam keadaan tergantung. 

“Dia kemudian menghubungi adik perempuannya sebelum kejadian dimaklumkan kepada polis. 

“Menurut si abang, adiknya tinggal bersamanya selepas kematian ibu bapa mereka,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Shafee berkata, lelaki terbabit sebelum ini mendapatkan rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM). 

“Hasil siasatan di lokasi, lelaki tersebut yang juga anak ketiga daripada empat beradik ditemui tergantung dalam bilik tidurnya, lehernya diikat dengan kain yang dicangkuk di siling. 

“Kami turut menemui tangga di tepi katil. Tiada unsur jenayah dalam kejadian ini. 

“Mayat dibawa ke HBM untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here