45 disahkan positif di Terengganu akibat aktiviti rentas negeri

0
1

KLUSTER Bukit Bayas yang berpunca daripada aktiviti rentas negeri, telah menjangkiti 48 individu serta menyebabkan 954 kontak rapat dikesan. 

Sehubungan itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata ia antara alasan kenapa pihak berkuasa kesihatan keberatan untuk membenarkan rentas negeri buat masa ini. 

Ia kerana, katanya, kesannya cukup terasa kepada petugas kesihatan yang telah bertungkus-lumus sejak setahun lalu untuk menangani penularan wabak Covid-19. 

Mengulas lanjut, Dr Noor Azimi memaklumkan beliau hari ini pergi ke Pusat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu untuk meninjau aktiviti kawalan Kluster Bukit Bayas. 

“Seramai 48 kes positif dan 954 kontak rapat berjaya dikesan. Kontak rapat keluarga akhirnya menjangkiti kontak rapat tempat kerja dan menjangkiti kontak rapat sosial. 

“Geng joging dan bermain golf pun djangkiti. Jangan pandang ringan kebolehjangkitan Covid- 19 ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Dr Noor Azimi berkata kluster itu melibatkan lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Dungun, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan Marang. 

“Lihat besarnya kawalan yang perlu dibuat. Selagi mampu kami akan terus melakukan aktiviti pembendungan,” katanya. 

Beliau seterusnya menegaskan tidak mahu perkara sama terjadi seperti Kluster Kebor Air yang mengambil masa lama untuk penularannya dikawal. 

“Setiap kali kluster baharu muncul setiap kali itu petugas kesihatan berhempas pulas mengesan kes dan memberi rawatan. 

“Mengesan kontak rapat dan melakukan ujian saringan dan isolasikan mereka. Segalanya perlu dibuat dengan pantas. 

“Bagi peluang untuk mereka berhenti lelah buat seketika,” luahnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here