STADIUM Sultan Ibrahim mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai ‘Stadium Of The Year 2020’.
Stadium yang menjadi gelanggang keramat untuk kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dipilih sebagai pemenang untuk kategori undian awam menerusi laman web StadiumDB.com.
Laman web berpengkalan di Poland itu mengumumkan stadium kebanggaan penyokong JDT itu memperoleh 64,240 mata mengatasi Stadium Allegiant di Las Vegas dan Stadium Ahmad bin Ali di Qatar.
Stadium yang serba canggih itu dibina hasil cetusan idea dan ilham pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang boleh memuatkan 40,000 penonton.
Stadium yang dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 22 Februari tahun lalu, dibina di atas tanah berkeluasan 28 hektar, adalah sebahagian dari Bandar Sukan JDT yang akan menempatkan beberapa fasiliti sukan yang bakal dirancang.
Reka bentuk stadium yang diilhamkan daripada daun pisang itu turut dilengkapi kemudahan padang jenis `zoysian’ dan ia mencapai piawaian ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), selain sistem pencahayaan moden dan sistem bunyi yang canggih. – Malaysiapost

