Sekat undi18: Majoriti pemuda marah dengan PN – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

Nurul Huda Abhar

“MAJORITI pemuda marah dengan kerajaan pada ketika ini,” kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, beliau percaya itu adalah sebab utama mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mahu melaksanakan mengundi di usia 18 tahun (Undi18).

“Namun, usul Undi 18 ini telah diluluskan sebulat suara oleh semua Ahli Parlimen pada bulan Julai 2019 dan kita diberitahu bahawa ianya akan dilaksanakan selewatnya dua tahun kemudian iaitu bulan Julai 2021 yang semakin menjelang.

“Maka kerajaan PN telah terperangkap dan masih terfikir mahu laksanakan ke tidak Undi18 kerana tidak meluluskannya bermaksud penghinaan paling besar terhadap parlimen dan proses demokrasi,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Najib berkata, jika keputusan tersebut telah diluluskan maka ia patut dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Pendapat saya ialah jika ianya telah diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan atau mana-mana ahli parlimen yang berkecuali, maka Undi18 patut dilaksanakan mengikut jadual yang dipersetujui.

“Usul dengan majoriti dua per tiga menyokong boleh tukar Perlembagaan Persekutuan. Ini kan usul dengan sokongan seratus peratus undi secara sebulat suara?,” ujarnya lagi.

Semalam, Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim Rais dilaporkan membuat kenyataan bahawa kelayakan mengundi pada pilihan raya umum di usia 18 tahun yang sepatutnya berkuatkuasa Julai ini tidak dapat diteruskan walaupun Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Menurutnya, pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

“Ini soal politik. Walaupun sudah lulus, tetapi memberikan senarai bakal pengundi berusia 18 tahun itu memakan masa yang sangat lama. Ia kena diambil daripada Jabatan Pendaftaran Negara dan senarai konstituensi atau kawasan-kawasan (di seluruh negara).

“Ia sekali gus melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan terdedah dengan tempoh masa yang lama.

“Setelah melihat situasi yang sebenar, undi 18 tahun ini tidak praktikal untuk diadakan pada musim ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel barkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/11/undi-18-tahun-tak-jadi-penghinaan-terhadap-proses-demokrasi-parlimen/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here