Alam persekolahan ketika pandemik Covid-19 sangat luar biasa

0
1
sekolah spm school

Muhammad Appendy Issahak

[ANALISIS] SESI persekolahan bagi 2021 memasuki minggu ketiga minggu hadapan dan syukur tiada ‘kluster sekolah’ Covid-19 dilaporkan setakat ini.

Selepas sekian lama anak-anak menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kini mereka dapat kembali merasai alam persekolahan sebenar secara bersemuka.

Pelaksanaan PdPR sebelum ini juga memberi cabaran apabila ramai pelajar yang tiada kemudahan gajet untuk belajar selain tiada capaian internet menyebabkan pelbagai pihak berusaha membantu meringankan beban rakyat.

Pengumuman Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin pada 19 Februari lalu yang memaklumkan sesi persekolahan dibuka secara berperingkat bermula 1 dan 8 Mac lalu sememangnya berita gembira buat ibu bapa dan anak-anak terutama murid Tahun Satu.

Dalam norma baharu kehidupan susulan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak Disember 2019, kebanyakan ibu bapa perlu menguruskan pendidikan anak-anak di rumah, selain ada juga yang perlu bekerja dari rumah.

Kini tiada lagi aksi ibu bapa yang bertukar menjadi ‘raksasa’ ketika melayan keletah anak-anak sepanjang PdPR dilaksanakan.

Radzi dalam pengumumannya memaklumkan murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua dibenarkan ke sekolah lebih awal berbanding yang lain bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.

“Ini akan memberi ruang kepada guru membiasakan anak-anak ini dengan SOP baru di sekolah dan guru bersama ibu bapa mencari kaedah terbaik berkaitan penyuraian pada akhir persekolahan,” katanya.

Ternyata murid dan guru berjaya menjalani sesi persekolahan dengan mematuhi SOP dari segi penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan sebagainya.

Namun pada hari pertama pembukaan sekolah yang pada awalnya tampak teratur dengan ibu bapa mengikut SOP ditetapkan, tetapi situasi bertukar menjadi ‘huru-hara’ ketika waktu balik sekolah.

Keadaan tidak terkawal itu berlaku di kebanyakan sekolah seluruh negara yang mempunyai ramai murid, apabila ibu bapa bersesak-sesak di pintu keluar sekolah untuk menjemput anak mereka.

Bagaimanapun situasi itu hanya berlaku pada hari pertama dan keadaan kembali terkawal pada hari berikutnya dengan sekolah melaksanakan kaedah penyuraian murid lebih teratur selain bantuan pemantauan daripada pihak polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Tidak ketinggalan juga pelbagai aksi murid sepanjang sesi persekolahan kali ini termasuk yang menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi dan komen warganet.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah video gelagat kanak-kanak lelaki dipercayai murid Tahun Satu yang lari dari sekolah pada hari pertama dengan cuba dipujuk seorang lelaki sebelum ibunya berjaya mendapatkannya.

Lain pula ceritanya dengan seorang murid perempuan Tahun Satu di sebuah sekolah di Putrajaya yang tular selepas gambarnya makan menggunakan mangkuk tingkat tersebar di media sosial hingga mendapat pelbagai reaksi netizen termasuk yang mengecam gelagat kanak-kanak itu.

Keadaan itu membuatkan bapa murid berkenaan, Mohd Rizal Omar tampil menjelaskan perkara yang sebenarnya berlaku iaitu gambar tular terbabit dirakamnya sebelum dikongsi di laman Facebooknya yang kemudian tersebar di media sosial tanpa diketahui siapa yang menularkannya.

“Kepada yang mengecam..kami sekeluarga maafkan anda semua..kerana anda mungkin tak tahu di sebalik cerita yang sebenar dan pada yang positif dan memberi kata-kata semangat..anda semua amatlah hebat,” katanya.

Namun ada juga, perkara negatif yang tular gambar membabitkan dua pelajar sekolah dipercayai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru selesai peperiksaan menaiki motosikal dengan pakaian seragam sekolah mereka diconteng perkataan kesat dan menghina guru.

Tindakan biadab pelajar itu membawa padah apabila dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang menyaman mereka atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Beberapa hari kemudian turut tular video seorang pelajar yang membuang buku sekolah di sungai bagi ‘meraikan’ sempena selesai peperiksaan SPM dan tindakan itu mendapat kecaman pelbagai pihak.

Berdasarkan pelbagai keadaan yang berlaku di alam persekolahan dalam era pandemik Covid-19 ini, sudah pasti pelbagai cabaran yang mungkin akan dihadapi pada masa hadapan.

Kini ibu bapa tidak lagi dapat menemani murid Tahun Satu pada hari pertama persekolahan mereka, anak-anak tidak lagi boleh makan di kantin sekolah, guru-guru perlu bersedia mengajar secara bersemuka atau PdPR dan banyak lagi cabaran lain.

Justeru itu, semua pihak perlu memainkan peranan dan bersedia menghadapinya kerana cabaran yang dihadapi anak-anak ini sangat luar biasa dan tiada generasi sebelum ini yang pernah melaluinya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here