Isu vaksin: KJ bidas Najib dalam ruangan komen Facebook

0
1
Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin melawat Pusat Penerima Vaksin (PPV) Stadium Bukit Jalil pada hari pertama PPV dibuka di sini hari ini.

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin membidas kenyataan dalam hantaran Facebook Datuk Seri Najib Razak semalam, berhubung isu pemberian vaksin yang didakwa jauh menepati sasaran kerajaan.

Menerusi ruangan komen Facebook Najib, Khairry berkata, perbandingan dengan Singapura seperti yang dinyatakan bekas Perdana Menteri itu, tidak adil kerana tidak mengambil kira jumlah hari program vaksinasi berlaku.

“Sehingga 1 Mac 2021, jumlah dos vaksin yang diberikan di Singapura adalah sebanyak 525,039. Singapura sudah memulakan program vaksinasi mereka pada 8 Januari.

“Secara purata, untuk tempoh 53 hari daripada hari pertama sehingga 1 Mac, jumlah dos yang diberikan di Singapura sebanyak 9,906 sehari.

“Untuk Malaysia, sehingga semalam, sejumlah 166,363 dos sudah diberikan. Ini menjadikan purata dos diberikan sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula pada 24 Februari lalu (13 hari sehingga semalam – bukanlah 3 minggu seperti yang Datuk Seri tulis) sebanyak 12,797 dos sehari,” katanya dalam komen berkenaan yang mendapat lebih 8,000 tanda ‘like’.

Justeru, beliau berkata, perbandingan yang dibuat Najib itu adalah tidak adil kerana tidak mengambil kira jumlah hari program vaksinasi telah berlangsung.

“Jika mengambil kira jumlah hari, ternyata purata harian vaksinasi di Malaysia lebih tinggi daripada Singapura,” katanya.

Khairy berkata, jangkaan sehingga 160,000 dos vaksinasi sehari untuk fasa dua dan tiga dengan adanya lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin dan jumlah vaksinator.

Ahli Parlimen Rembau itu juga menafikan kerajaan melakukan pusingan U dalam pembabitan klinik serta hospital swasta bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sebaliknya berkata, perkara itu sudah dirancang dan dinyatakan dalam buku panduan pelalian.

“Mungkin Datuk Seri belum membaca sampai habis buku panduan ini. Saya juga sudah menyatakan perkara ini berulang kali sama ada menerusi program penerangan, siaran akhbar, mahupun ketika sidang media. Datuk Seri boleh ‘Google’ jika Datuk Seri ada terlepas pandang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak pernah menghalang sekiranya ada pihak swasta mahu mendapatkan bekalan vaksin daripada mana-mana pengeluar.

“Bagaimanapun, buat masa ini, kebanyakan pengeluar vaksin hanya mengadakan rundingan bersama pihak kerajaan. Saya juga ingin menyatakan, apa-apa jenis vaksin yang hendak digunakan di Malaysia perlu mendapat kelulusan NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara).

“Saya difahamkan, sehingga kini tiada permohonan sudah diterima oleh NPRA daripada pihak swasta untuk mendaftarkan apa-apa jenis vaksin,” katanya.

Khairy berkata, kerajaan juga sedang mempertimbang kertas kerja pelaksanaan vaksinasi secara pandu lalu dan sudah dibentangkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM).

“Jadi jangan khuatir. Perancangan ini sememangnya sudah ada. Cumanya ia perlu diberi perincian, terutamanya dalam soal logistik dan kesan AEFI (kesan sampingan susulan imunisasi), memandangkan setiap vaksin Covid-19 mempunyai protokol pengendalian yang berbeza-beza,” katanya.

Dalam hantaran di Facebooknya semalam, Najib mendakwa kadar pemberian vaksin jauh di bawah sasaran kerajaan, iaitu sebanyak 150,000 suntikan sehari dan melakukan perbandingan dengan Singapura yang sudah memberikan vaksin kepada596,000 orang, manakala Indonesia 4,256,457 individu.

Katanya, kadar vaksinasi negara perlu dipercepat lagi kerana ramai rakyat Malaysia tak sanggup menunggu sehingga Mac 2022 untuk negara mencapai imuniti kelompok dan bebas Covid-19.-Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/09/kerajaan-perlu-benarkan-swasta-beli-vaksin-sendiri-najib/

https://malaysiapost.com.my/2021/03/05/percepatkan-inisiatif-vaksinasi-negara-najib/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here