Dua tahun curi emas bernilai RM2 juta

0
1

SEORANG pekerja wanita sebuah kedai emas di Petaling Jaya dikesan mencuri barang kemas jualan sejak dua tahun lalu melibatkan kerugian kira-kira RM2 juta.

Kegiatan suspek yang berusia 42 tahun itu terbongkar selepas majikan mengesannya mengikat seutas rantai emas pada pahanya ketika melakukan pemeriksaan ke atas pekerja itu.

Wanita terbabit kemudian ditahan dalam serbuan di rumahnya di Sungai Way pada 1 Mac lalu, selepas majikannya membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pemilik kedai emas itu mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM2 juta dengan kehilangan barang kemas di premisnya.

“Susulan siasatan ke atas suspek, polis menahan dua lagi wanita dan seorang lelaki berusia 27 hingga 36 tahun dalam serbuan di tiga kedai pajak di Sungai Way.

“Polis turut merampas pelbagai barang kemas yang dianggarkan bernilai RM138,000,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Menurutnya, suspek utama sudah dituduh di mahkamah, manakala tiga lagi yang ditahan akan menjadi saksi pendakwaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Nik Ezanee memaklumkan pihaknya berjaya memberkas seorang lelaki berusia 30 tahun yang disyaki terbabit dalam kes pecah kereta Isnin lalu.

“Polis menemui beberapa barangan yang disyaki hasil curi termasuk ‘android player’ dalam sebuah kereta.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek dikatakan terbabit dengan 11 kes pecah kereta,” katanya.

Menurut beliau, polis masih mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Ruben berusia 24 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes itu. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here