TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah itu menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech selepas mesyuarat Kabinet negeri.
Turut menerima suntikan adalah dua menteri Kabinet negeri iaitu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Yakub Khan.
Mereka adalah kumpulan kedua jemaah menteri Sabah yang menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 selepas kumpulan pertama yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, minggu lalu.
Bung Moktar berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kesan sampingan selepas menerima vaksin Covid-19 .
Katanya, sebelum suntikan dilakukan saringan sejarah kesihatan akan dibuat terhadap semua individu sebelum disahkan layak menerima vaksin.
Sehingga semalam, seramai 14,065 individu dalam kategori barisan hadapan sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa pertama di Sabah. – Malaysiapost

