‘Kluster Mahkamah’ pertahanan terakhir Umno – Ahmad Zahid

0
2
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan hakikatnya tiada sebarang kluster dalam kepimpinan Umno. 
Menurutnya, akar umbi juga mahu supaya parti itu terus berpadu tanpa sebarang perpecahan, biarpun perbezaan pendapat tetap diraikan.
Namun, tafsiran wujudnya pelbagai ‘kluster’ dalam kepimpinan Umno mengikut penganalisis politik tidak dapat dielakkan.
“Mereka kata (penganalisis politik) ‘Kluster Mahkamah’ sila berundur konon demi selamatkan Umno.
“Tetapi hairan rata-rata mereka ini penyokong ‘Kluster Kuasa’. Mereka yang anti-Umno,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam ini. 
Menurutnya, terdapat juga ‘Kluster Cari Makan’ yang turut dikenali sebagai ‘Kluster Broker’ tambah garam.
“Mujur ahli dan penyokong UMNO dapat hidu tipu muslihat kluster-kluster ini.
“Golongan berkecuali atas pagar pun nampak agenda dua kluster ini. Inikan zaman media sosial,” katanya. 
Beliau berkata, lebih tiga juta ahli dan penyokong Umno juga tahu ‘Kluster Mahkamah’ inilah ‘last defend’ bagi Umno. 
“Mereka tahu sebab itu ‘Kluster Kuasa’ dan ‘Kluster Broker’ bersungguh-sungguh menghasut.
“Berusaha meracuni fikiran mereka supaya menolak pemimpin ‘Kluster Mahkamah’. ‘Kluster Kuasa’, ‘Kluster Broker’ bimbang Umno sedang bangkit dengan kekuatan sendiri. ‘Kluster Kuasa’ bimbang kuasa dalam genggaman terlepas. ‘Kluster Broker’ takut hilang jawatan dan kedudukan,” katanya. 
Ahmad Zahid bagaimanapun bersyukur kerana ahli dan penyokong Umno faham apa yang dialami beliau yang digelar ‘Kluster Mahkamah’ itu. 
“Mereka tahu siapapun yang memimpin Umno masa itu berpotensi ‘di-Kluster Mahkamah-kan’,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here