JDT ambil alih takhta liga, Selangor tewas di Gong Badak

0
1

JUARA tujuh tahun berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) merampas tangga teratas Liga Super setelah menewaskan Penang FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, malam ini.

Bagaimanapun skuad bimbingan Benjamin Mora dipaksa bekerja keras apabila terpaksa menanti minit ke-81 untuk memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti Leandro Sebastián Velázquez.

Fernando Rodriguez mengesahkan tiga mata buat tuan rumah apabila menjaringkan gol kedua empat minit kemudian, sekali gus memastikan JDT mengutip enam mata dari dua perlawanan.

Di Kuala Terengganu, Selangor kehilangan kedudukan teratas setelah tewas 1-3 kepada pasukan tuan rumah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak.

Kegagalan Selangor memanfaat beberapa peluang keemasan di awal permainan dihukum Terengganu FC apabila Jordan Mintah menjaringkan gol pertama menerusi tandukan jarak dekat pada minit 35.

Terengganu menambah gol kedua menerusi pemain gantian, Rahmat Makasuf pada minit ke-61 sebelum jaringan sendiri Shahrul Nizam minit ke-74 menyalakan semula peluang buat pasukan pelawat.

Ketika Selangor mengasak hebat dalam usaha mencari gol penyamaan, skuad Penyu melakukan serangan balas pantas pada minit ke-94 yang disudahkan Hakimi Abdullah.

Kemenangan itu memastikan skuad bimbingan Nafuzi Zain kini berada di kedudukan kedua liga dengan enam mata, hanya dipisahkan menerusi perbezaan dengan JDT.

Di Alor Setar, Kedah bangkit dari kekalahan kepada JDT minggu lalu apabila menewaskan Sabah 2-0 menerusi jaringan Tchetche Kipre dan Kpah Sherman, kedua-duanya dihasilkan pada babak pertama perlawanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here