Zuraida, MP Jempol dan 96 petugas PKRC Serdang terima vaksin Covid-19

0
1

PROGRAM Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) diteruskan hari ini di mana sebanyak 96 petugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) 2.0 Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama.

Proses vaksinasi tersebut berjalan lancar dan 24 staf disuntik setiap jam sepanjang program itu berlangsung.

“Kita sudah bermula pada Isnin lepas dan berharap selesai untuk suntikan dos pertama pada Jumaat minggu depan,” kata koordinatornya, Dr. Ahmad Hisyamuddin Ahmad Lutfi kepada pemberita, hari ini.

Mereka adalah antara sebahagian daripada 500,000 petugas barisan hadapan yang divaksin pada fasa pertama PICK bermula bulan lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin juga menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama di Klinik Kesihatan Putrajaya Presint 18, Putrajaya hari ini.

Turut menerima suntikan vaksin jenis Pfizer BioNTech di klinik itu hari ini adalah Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid dan empat lagi anggota bomba.

Zuraida yang akan menerima suntikan dos kedua pada 26 Mac ini berkata beliau tidak berasa apa-apa kesan sampingan selepas menerima suntikan dos pertama pada hari ini.

Sementara itu, Pengerusi RISDA, Datuk Mohd Salim Sharif juga termasuk dalam penerima suntikan vaksin fasa pertama dalam Program Imunisasi di Hospital Jempol hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol menerima suntikan vaksin pada program berkenaan berkata, hanya 550 daripada kira-kira 140,000 penduduk di daerah Jempol sudah berdaftar untuk menerima suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.

Katanya, orang ramai perlu mendaftar secepat mungkin bagi memastikan matlamat imunisasi negara sebanyak 80 peratus dapat dicapai.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Mustapha Nagoor dan Pengarah Hospital Jempol, Dr Zul Iskandar Zainudin. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/03/02/mb-kelantan-annuar-musa-kpn-terima-suntikan-vaksin-covid-19-hari-ini/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here