Percepatkan inisiatif vaksinasi negara -Najib

0
1

INISIATIF vaksinasi negara perlu dipercepatkan kerana ia masih lagi perlahan dengan dengan 80,366 orang diberi vaksin sejak proses itu bermula 10 hari lalu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia bersamaan dengan kadar 8,037 orang sehari dan jika kadar ini tidak dinaikkan maka negara memerlukan 16 tahun untuk melengkapkan pemberian vaksin dua dos kepada 70 peratus rakyat.

“Jika kadar ini tidak dinaikkan maka kita akan perlu masa 5,686 hari (16 tahun) untuk memberi vaksin (2 dos) kepada 70% daripada penduduk Malaysia.

“Negara jiran Indonesia yang melibatkan pihak swasta dalam pelan vaksinasi telah berjaya memberi vaksin kepada 3,386,351 orang setakat ini,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, jika kadar vaksinasi Malaysia dapat dipercepatkan berkali ganda maka Malaysia tidak perlu lagi untuk melaksanakan PKP bagi tempoh yang berbulan-bulan lamanya.

“Kita tumpu pada vaksinasi dan jika kes Covid mula naik semula, kita laksanakan ‘circuit-breaker’ atau lockdown yang amat ketat tapi singkat bagi tempoh 5 atau 7 hari sahaja dari masa ke semasa selagi kapasiti sistem hospital di bawah tahap kritikal,” katanya,

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, PKP 2.0 yang berakhir semalam selepas dilaksanakan 52 hari secara berterusan memberi kesan besar terhadap ekonomi rakyat.

“Walaupun prestasi PKP 2.0 agak mengecewakan, kesan ekonomi pada Rakyat adalah terlampau besar jika PKP disambung lagi. Jadi, jangan dibuat lagi PKP yang berbulan-bulan lamanya.

“Namun, Malaysia masih merupakan negara paling teruk dalam ASEAN dari segi jumlah penduduk – baik dari kes baru setiap hari ataupun dari jumlah kes Covid terkumpul,” katanya -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/26/vaksin-1-juta-rakyat-malaysia-sudah-mendaftar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here