Ke mana hala tuju hubungan Umno Sabah, Bersatu selepas ini?

0
1

KETUA Pemuda Umno Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain mempersoalkan hala tuju kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terutamanya hubungan antara Umno negeri itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Kenyataan itu susulan keputusan Umno mahu menamatkan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau berkata, Bersatu sebelum ini telah memberi kata dua kepada Umno tentang pendiriannya berkenaan kedudukan kerjasama politik.

“(Keputusan tersebut dibuat) sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan untuk menghadapi PRU ke-15 .

“Hasilnya, Umno Pusat telah buat mesyuarat di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum berikan maklumbalas seperti berikut; tiada kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15 dan Umno berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen,” katanya menerusi Facebook.

Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan keputusan MKT bahawa untuk menjaga kerjasama politik yang terjalin perlulah ada kejujuran dan keikhlasan daripada semua pihak.

“Saya percaya bahawa MKT telah mengambil-kira situasi dan sentimen yang berlaku di peringkat akar umbi beserta kebimbangan mereka terhadap kesungguhan Bersatu untuk melemahkan Umno secara ‘total’.

“Saya percaya MKT telah mengambil-kira tahap keikhlasan dan kejujuran Bersatu yang mengecewakan di Sabah apabila melantik Adun-adun Bebas yang menentang calon-calon BN dalam PRN Sabah, ke jawatan-jawatan penting dan strategik dalam negeri. Saya ingin bertanya, di manakah bentuk keikhlasan dan kejujuran yang ditunjukkan dalam hal ini?

“Namun, Umno Sabah ini ‘starring’. Kami pilih untuk berlapang dada walaupun dikhianati, kerana kami telah berjanji kepada rakyat untuk selamatkan negeri ini daripada setiap kerosakan yang dibuat oleh kerajaan Warisan-PH. Kami tidak mahu hanya kerana kami sakit hati (dikhianati) maka hasrat untuk perbaiki kerosakan tersebut gagal,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kepada ahli-ahli Umno Sabah yang berotonomi agar menghormati mandat rakyat.

“Kita perlu jaga kerajaan GRS ini walau apapun yang berlaku di peringkat Nasional selagi Bersatu tidak mengkhianati kita sekali lagi.

“Kita perlu perkuatkan GRS sepertimana kuat dan padunya GPS di Sarawak menuntut hak-hak mereka menurut Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Sebagai permulaan, beliau meminta kerajaan GRS fokus untuk tunaikan satu persatu AkuJanji yang telah dibuat semasa pilihanraya negeri yang lalu.

“Tidak banyak. Hanya 79 buah AkuJanji. Buat pemimpin-pemimpin GRS, laksanakanlah tugas untuk membangun negeri ini dengan baik.

“Elakkan perpecahan yang merugikan. Masih banyak yang belum tercapai dan rakyat sedang mengharapkan pemulihan ekonomi yang cepat.

“Sedarlah, kemakmuran ekonomi hanya akan tercapai sekiranya komponen parti GRS dapat kekalkan kestabilan politik yang ada dan tahu apa yang perlu dibuat. (Sila rujuk AkuJanji Gabungan Rakyat Sabah),” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/04/umno-tamat-kerjasama-bersatu-akan-buat-ketetapan-petang-ini-hamzah/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here