Umno Perlis teruskan kerjasama dengan Bersatu pada PRU-15 – Shahidan

0
1

PENGERUSI Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, mengumumkan Umno negeri itu akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Kenyataan itu dibuat ketika Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan akan menamatkan kerjasama berkenaan di peringkat nasional.

“Keputusan Umno Perlis ialah menyokong kerajaan Perikatan Nasional dan semasa pilihan raya kami akan bekerjasama dengan semua parti politik Bumiputera – Bersatu dan PAS.

“..akan bekerjasama dengan semua parti-parti politik Bumiputera semasa pilihan raya dan Perlis tidak mahu menjadi (negeri dikuasai) pembangkang,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Shahidan yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional, juga menegaskan kerjasama dengan Bersatu dan PAS wajar bagi memenangi pilihan raya.

Hari ini, Bersatu mengesahkan menerima surat daripada Umno memaklumkan keputusan mesyuarat MKT bahawa tiada kerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum ke-15.

Dalam surat itu, MKT juga memaklumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa kebersamaan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional adalah hanya sehingga Parlimen dibubarkan.

Shahidan berkata Umno Perlis belum dimaklumkan secara rasmi keputusan MKT itu dan berpegang kepada pendirian rasmi parti sebelum ini.

“Kami tidak tahu, tidak dapat maklumat, dan jika dapat maklumat kita akan buat mesyuarat perhubungan berhubung isu ini. Kita sekarang ini ikut keputusan mesyuarat lepas.

“Kami tetap dengan pendirian bekerjasama dengan parti-parti politik Bumiputera,” kata beliau.

Sementara itu, Umno Perak berkata keputusan MKT selari dengan pendiriannya, mengatakan sejak awal lagi ia menegaskan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.

“Perkara ini bukan lagi rahsia, cuma bila ada surat ia jadi rasmi dan menjelaskan keputusan yang sudah dibuat MKT. Semua pun maklum Umno memang tidak akan bekerjasama dengan PPBM,” kata Ketua Penerangan Datuk Mohd Zolkafly Haron.

Terdahulu, Pengerusi Datuk Saarani Mohamad memberi amaran kepada Bersatu agar jangan ganggu kerusi Umno di Perak, sekiranya mahu penyatuan di negeri itu. – Malaysiapost

Foto Kredit: PN BBC Portal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here