‘Ketepikan politik, selesaikan isu Covid-19’

0
1

KETEPIKAN isu berkaitan politik terlebih dahulu dan beri tumpuan terhadap penyelesaian Covid-19, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu, berkata negara baru menerima bekalan vaksin yang memberi harapan dalam usaha menamatkan penularan wabak itu.

“Justeru secara peribadi, saya berpandangan perkara berkaitan politik perlu diketepikan bagi memberi laluan kepada penyelesaian masalah.

“Mari kita sama-sama memberi ruang kepada kerajaan untuk melaksanakan tindakan penting bagi menangani Covid-19 ,” katanya di Facebook.

Salleh berkata, ketika ini rakyat mahu ekonomi dan kesihatan dipulihkan segera demi kebaikan semua.

“Rakyat juga sudah jemu dengan pemimpin ‘berpolitiking’ kerana yang penting adalah hasil dan bantuan berterusan untuk menyelamatkan mereka.

“Untuk mencapainya, kita perlu mencari titik persamaan dan mengetepikan perbezaan seketika. Fokus perlu diberikan untuk memerangi Covid-19.

“Bercutilah daripada politik demi menyelamatkan ekonomi. Namun setiap tindakan perlu dilaksanakan dengan sepenuh hati dan bukan hanya untuk mencipta nama serta berlumba-lumba menjadi juara,” katanya.

Beliau berkata, usaha Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sejak tahun lalu menunjukkan betapa seriusnya kerajaan dalam menangani Covid-19.

Sambil menjelaskan usaha itu bukan mudah untuk dilaksanakan dalam suasana politik tidak stabil, Salleh berpendapat Muhyiddin mampu menguruskan perbezaan dengan tenang dan tertumpu.

“Walaupun berdepan serangan dan kritikan dari pelbagai sudut, beliau (Muhyiddin) tetap tenang.

“Sebagai seorang yang berpegang kepada prinsip demokrasi, beliau juga memberi komitmen sepenuh hati untuk menyerahkan Parlimen kepada rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya yakin proses demokrasi akan berlangsung selepas keadaan mengizinkan apabila Covid-19 sudah terkawal.

“Sama ada mahu mengundi kerana parti, berdasarkan isu semasa atau persekitaran, hanya rakyat boleh menjawab dan ini adalah hak mereka,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/16/henti-polemik-politik-fokus-pada-rakyat-asyraf-wajdi/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here