TIGA nelayan Vietnam cedera selepas terkena serpihan tembakan yang dilepaskan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) kerana menceroboh masuk perairan negara di kedudukan 80 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Pahang, kelmarin.
Dalam kejadian itu, anggota penguat kuasa Maritim terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas nelayan berkenaan bertindak agresif dan cuba menyerang anggota dengan senjata tajam dan objek keras semasa hendak diperiksa.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud, berkata Kapal Maritim (KM) SATRIA yang sedang melaksanakan OP Kuda Laut telah mengesan dua bot nelayan asing Vietnam sedang menceroboh perairan negara.
Beliau berkata, kejadian jam 5.25 pagi Selasa itu berlaku di kedudukan 80 batu nautika tenggara Tanjung Gelang, Pahang dan Maritim mengambil masa hampir tiga jam bagi menahan bot berkenaan.
“Menyedari kehadiran KM SATRIA, kedua-dua bot tersebut melarikan diri daripada ditahan.
“KM Satria bertindak menurunkan bot RHIB untuk memintas dan menjalankan pemeriksaan dengan merapat ke arah sebuah bot dengan nombor pendaftaran KG92641TS.
“Ketika sedang merapat dan dalam usaha memanjat bot suspek, pasukan geledah diserang secara tiba-tiba oleh beberapa awak-awak yang bertindak agresif dengan bersenjatakan parang serta objek keras dan tajam bagi menghalang daripada diperiksa,” katanya menerusi Facebook rasmi Agensi tersebut.
Beliau berkata, Maritim terpaksa melepaskan beberapa das tembakan amaran e udara susulan tindakan agresif dan ganas nelayan asing itu.
“Situasi tegang dan kritikal itu membuatkan anggota penguatkuasa tiada pilihan lain dan terpaksa melepaskan tembakan amaran ke arah bot.
“Ia bagi menghentikan tindakan ganas nelayan asing itu serta mempertahankan diri dan aset sesuai dengan ketetapan SOP dengan penggunaan kekerasan secara minima.
“Namun serpihan tembakan terkena dan mencederakan dua awak-awak dan seorang tekong bot berikutan keadaan laut yang bergelora,” katanya.
Beliau berkata, bot serta 19 awak-awak nelayan asing itu berjaya ditahan sekitar jam 8.55 pagi semalam dan hasil laut negara bernilai RM1.5 juta turut dirampas.
Katanya, tiga nelayan asing yang cedera dibawa ke hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan.
“Kes ini disiasat disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia
“Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1959/63, berikutan memasuki Malaysia tanpa permit yang sah; serta Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen sah.
“Tekong boleh dijatuhi hukuman denda sebanyak RM6 juta dan nelayan pula didenda RM600,000 seorang atau penjara maksimum 12 bulan jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, kru bot akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 kerana menghalang tugas penjawat awam.
“Tangkapan ini merupakan tangkapan ke 68 operasi OP Kuda Laut dengan melibatkan penahanan 795 awak-awak termasuk tekong dalam usaha mengekang jenayah pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing,” katanya. -Malaysiapost

