Tiada sidang Parlimen semasa darurat – Takiyuddin

0
1
takiyuddin

KABINET tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membenarkan Parlimen bersidang semula dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos, kata Datuk Takiyuddin Hassan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu berkata kenyataan Istana Negara minggu lalu adalah untuk menjelaskan bahawa Kabinet adalah pihak yang akan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai bila Parlimen boleh bersidang.
Katanya, melalui Ordinan Darurat, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh menggubal undang-undang, tanpa perlu Parlimen bersidang, lapor FMT.

“Panggilan mana-mana sidang Parlimen mesti mengikut keputusan Kabinet. Jadi, sekarang Kabinet menasihati Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak akan ada sidang Parlimen. Begitulah keadaannya sekarang.

“Perdana menteri telah menjamin bahawa setelah darurat berakhir, Parlimen akan bersidang. Buat masa ini, ketika Parlimen tidak bersidang, Ahli Parlimen dapat memberi tumpuan untuk memerangi Covid-19.

“Itu justifikasi kami, tidak ada alasan lain,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Takiyuddin juga berkata, Yang di-Pertuan Agong prihatin terhadap kesihatan dan keselamatan wakil rakyat yang mana 77 daripada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat berusia lebih 60 tahun.

“Jadi, sebilangan besar 222 ahli Parlimen kita berisiko tinggi. Kami tidak mahu Ahli Parlimen terdedah, terutamanya kerana ia adalah kawasan tertutup,” katanya lagi.

Minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara itu dititahkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin menerusi kenyataan yang disampaikan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here