PAKATAN Harapan (PH) tidak akan membawa usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin jika Parlimen bersidang ketika tempoh darurat.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata banyak isu rakyat perlu diketengahkan seperti kesihatan dan pendidikan, maka usul tidak percaya bukan agenda utama.
“Di mana lagi kami nak bersuara kalau bukan di Parlimen. Kita berharap Perdana Menteri dapat menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memanggil semua Ahli Parlimen untuk bersidang semula,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Beliau hadir dalam program bicara khas Sidang Parlimen Ketika Darurat: Demi Politik Atau Rakyat’ di Shah Alam yang turut dihadiri Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar dan Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof.
Sementara itu, Noh berkata, tergantungnya Parlimen menyebabkan beberapa jawatankuasa di bawah kuasanya seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri tidak dapat berfungsi.
Katanya, banyak rang undang-undang akan lambat digubal sekiranya situasi itu berterusan.
“Saya berpendapat selepas semua Ahli Parlimen dan Dewan Negara mendapat vaksin Covid-19, persidangan boleh dilakukan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Pada sesi lalu, semua telah mengikuti SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan dan rasanya tiada masalah Parlimen bersidang semula,” katanya.
Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa, pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri. – Malaysiapost
Foto Kredit: Awani

