UNIFI hari ini mengumumkan ia akan terus menyatukan peminat bola sepak tempatan dengan membawakan perlawanan Piala Sumbangsih dan Liga Super 2021 melalui unifi TV, aplikasi unifi PlayTV serta menerusi saluran YouTube unifi.
Aksi Sumbangsih yang menjadi perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia (Liga M) 2021 bakal berlangsung Jumaat ini menemukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim.
Menerusi kerjasama dengan Malaysian Football League (MFL), unifi kini menjadi satu-satunya yang menawarkan momen bola sepak secara langsung dalam kualiti definisi tinggi (HD) di kaca TV.
Peminat bola sepak juga boleh menyaksikan perlawanan melalui aplikasi unifi PlayTV atau saluran YouTube unifi menerusi peranti mudah alih mereka di mana sahaja.
Mengulas mengenai kerjasama tersebut, Ketua Pegawai Komersial TM, Anand Vijayan berkata bola sepak adalah sukan nombor satu bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global.
Justeru katanya, di unifi, pihaknya berkongsi minat yang sama, malah telah lama menjadi rakan kongsi dalam arena bola sepak tempatan.
“Kami teruja untuk meneruskan kerjasama kami dengan MFL ke arah pembangunan bola sepak serta membawa liga bola sepak tempatan kepada lebih ramai rakyat Malaysia.
“Dalam situasi semasa ini, kami berharap dengan membawakan perlawanan bola sepak secara terus ke rumah anda, akan mengekalkan semangat kesukanan yang tinggi serta menyatukan kami,” tambahnya.
Tahun ini, sebanyak 12 pasukan akan bersaing bagi merebut gelaran Liga Super 2021.
Pusingan pertama dimulakan dengan perlawanan Sumbangsih, serta baki perlawanan bakal dimainkan pada hujung minggu.
Perlawanan pusingan akhir dijadualkan pada 8 Ogos 2021, di mana juara Liga Super akan dinobatkan.
Peminat bola sepak di seluruh negara akan dapat menonton Piala Sumbangsih serta Liga Super setiap masa di mana sahaja menerusi saluran unifi Sports 701 – 705, aplikasi unifi PlayTV serta saluran YouTube unifi di https://www.youtube.com/c/unifiistheone/featured
Untuk menonton perlawanan menarik yang dibawa oleh unifi TV kepada anda, sila lawati https://unifi.com.my/personal/tv. – Malaysiapost

