“SEMOGA Allah membalas tindakan jahat mereka yang menghidupkan fitnah dengan azab yang dasyat sekiranya tidak bertaubat dan memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Kelantan.”
Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS, Ir Ts Khairil Nizam mengulas dakwaan berlaku ‘potong giliran’ oleh pegawai tinggi kerajaan Kelantan dalam senarai penerima vaksin Covid-19 sehingga mengetepikan petugas barisan hadapan.
Beliau berkata dakwaan tersebut ternyata fitnah apabila Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin dan Exco, Dr Izani Husin masing-masing telah menafikannya.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa budaya fitnah ini adalah budaya kerja mereka yang terdesak tidak mampu memberikan khidmat kepada rakyat.
“Mereka tiada ‘track record’ baik yang boleh dikongsikan sehingga tergamak untuk mencipta fitnah murahan seperti ini untuk kekal menjadi releven. Tetapi mereka silap, ini langkah sumbang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.
Khairil Nizam seterusnya meminta anak muda untuk memerangi budaya fitnah di media sosial dan di dalam politik.
“PRU15 sekiranya pemain politik kotor yang terdesak seperti ini masih wujud dan bertanding, saya harap pengundi muda hapuskan mereka sehingga ke akar umbi serta rantingnya,” katanya.
Kelmarin, Dr Izani dilaporkan berkata dakwaam yang mengatakan terdapat 200 Ahli Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan cuba ‘memotong barisan’ untuk menjadi penerima terawal suntikan vaksin Covid-19 adalah fitnah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri itu berkata laporan yang tular di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi serta kecaman daripada netizen adalah tidak benar dan berniat jahat.
Beliau berkata, kerajaan Kelantan tidak pernah masuk campur dalam sebarang proses menentukan senarai penerima vaksin Covid-19 di negeri itu sebaliknya ia dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK).
Sebelum ini, pakar perunding nefrologi, Dr Rafidah Abdullah menerusi ciapan di Twitter @rafidah72 memaparkan tangkap layar mesej yang diterima beliau daripada individu tidak ingin dikenali berhubung perkara itu.
Mesej itu mendakwa suntikan vaksin Covid-19 kepada doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan yang tersenarai awal sebagai penerima terpaksa ditangguhkan untuk memberi ‘laluan’ kepada 200 ahli SUK Kelantan. – Malaysiapost

