Mapim sedia temui Nur Sajat

0
2

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) bersedia menemui Nur Sajat atau Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, untuk membimbingnya agar tidak meneruskan hasratnya keluar dari agama Islam.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pihaknya memberi perhatian kepada masalah itu dan yakin semua pihak memandang serius apa yang berlaku.

Menurut Mohd Azmi, Mapim bersimpati kepada semua pihak yang mahu menyelesaikan isu itu dan berharap dapat mengawal keadaan agar ia dikendalikan dengan sebaik mungkin dan dengan hikmah.

“Jalan keluar dengan menghormati tanggungjawab pihak berkuasa dan mengguna pendekatan kasih sayang dan mendidik secara penuh hikmah perlu dilakukan.

“Sesungguhnya, apa yang mahu dicapai ialah Sajat, dengan penuh keinsafan, kekal dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin Sajat melafazkan hasrat itu dalam keadaan tertekan dan emosi tidak terkawal serta bukan dari lubuk hati sebenar.

Bagaimanapun, pihaknya sangat berharap agar masyarakat Islam tidak menambah rumit keadaan.

“Inilah saatnya seluruh masyarakat menterjemah rasa kasih sayang antara satu sama lain dan menyelamatkan saudara seagama agar kembali saling bantu-membantu demi kebaikan dan ketakwaan.

“Kefahaman Sajat mengenai tanggungjawab pihak berkuasa sangat perlu dijelaskan dan kami berharap ada komunikasi lancar berlaku untuk mengelakkan salah faham antara dua pihak.

“Sebagai badan Islam, kami berasa sangat bertanggungjawab untuk turut berperanan menangani isu seperti ini dengan hikmah dan mencari titik penyelesaian yang baik,” katanya lagi.

Beliau membuat kenyataan tersebut bagi mengulas tindakan usahawan kosmetik tersebut yang memuatnaik status seolah-olah mahu keluar daripada Islam.

Ia dipercayai ada kaitan dengan waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya selepas gagal hadir dalam sebutan kes di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, 23 Februari lalu. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/02/28/rumah-sajat-diserbu-namun-usahawan-itu-gagal-ditemui/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here