SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini gagal dalam permohonannya untuk melucut hak wang berjumlah RM2,738,525.08 yang disita daripada Badan Perhubungan Umno Selangor, yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwa raya selaku pemohon terhadap badan politik itu sebagai responden.
Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang disita adalah hasil daripada aktiviti haram, selain wang yang dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah lama habis digunakan.
“Pihak pemohon juga tidak mencabar akaun dan penyataan dikemukakan dalam afidavit responden. Mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” katanya seperti dilapor Bernama.
Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala peguam Datuk Hasnal Rezua Merican dan Muzzammil Merican mewakili Badan Perhubungan Umno Selangor.
Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap Umno Selangor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. -Malaysiapost

