
Mohd Azmi Abdul Hamid
KAMI melihat langkah politik lompat parti, selar-menyelar dan ugut-mengugut antara pemimpin parti sangat memualkan.
Politik serang-menyerang dalam dan antara parti ketika keadaan rakyat menghitung kes Covid-19 dan kematian setiap hari yang terus tinggi, menandakan politik rakyat hanya menjadi slogan kosong.
Kini rakyat lapisan bawah menunggu suntikan vaksin Covid-19 sementara pemimpin politik atasan sudah menerima vaksinasi untuk dilindungi diri daripada Covid-19. Rakyat bawahan terpaksa menunggu atas alasan bekalan vaksin terhad.
Sementara itu, rakyat juga terus berhadapan dengan ekonomi yang sangat menghimpit. Antara mematuhi PKP dan ekonomi yang memakan masa untuk pulih, rakyat terpaksa bergelut untuk mencari pendapatan buat kelangsungan hidup.
Sedangkan para wakil rakyat dan pemimpin kerajaan selesa dengan pendapatan yang jauh lebih terjamin.
Ada sebab kenapa rakyat semakin bosan dengan ahli politik yang membuat keputusan tanpa mengambil kira perasaan pengundi.
Pengundi telah ditaburkan dalam pilihanraya dengan pelbagai janji dan ahli politik mengutarakan bahawa parti merekalah yang paling layak dipilih.
Tiba-tiba mereka dengan mudah melompat parti tanpa merujuk kepada pengundi. Padahal yang paling wajar ialah mereka meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat dan kembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih siapa yang rakyat mahu.
Dalam tempuh yang kritikal menangani Covid-19, setengah pemimpin politik nampaknya mengutamakan kedudukan masing-masing dalam polimik politik dan memancing sokongan untuk mengekalkan kedudukan. Parti politik bagaikan pasar jualan ahli politik yang murah.
Kami melihat politik kepartian di negara ini semakin buruk dengan sikap ahli politik yang menjadi individu murahan untuk menjual diri kepada pihak yang sanggup membayar dengan bayaran tertinggi.
Politik matang, politik penyatuan semuanya hanya retorik. Atas nama politik Melayu-Islam, politik reformasi, politik anti kleptokrasi dan anti rasuah, mereka lupa bahawa rakyat telah bosan dengan tabiat ahli politik beretorik dan berslogan kosong.
Ahli politik yang celupar dengan kenyataan saling menyerang di media perdana dan media sosial, menunjukkan kegilaan meraih populariti lebih penting daripada menyelesaikan isu rakyat.
Kini menjadi tandatanya apakah sebenarnya niat ahli politik bertanding dalam pilihanraya dengan mengguna nama parti politik.
Pengundi nampaknya terpedaya dengan retorik perjuangan yang dilaungkan.
Apabila ahli politik membuat keputusan melompat parti, jelas sekali yang diutamakan bukannya nasib pengundi tetapi kepentingan diri.
Atas nama rakyat, wakil rakyat memutar belit kata-kata untuk menjustifikasikan pengkhianatan. Mereka mengubah pendirian untuk berkonspirasi menjatuhkan antara ahli politik dan antara parti politik. Politik wang dan tawaran kedudukan bermaharajalela tanpa ada tanda akan reda.
Kami kesal politik negara sudah jatuh kepada paras yang sangat jijik. Demokrasi dipermainkan sedemikian rupa sehingga rakyat dipaksa untuk hanya memerhatikan gelagat politikus tanpa boleh berbuat apa-apa.
Titah YDP Agong bahawa ahli politik perlu mengurangkan perangai politiking berlebihan nampaknya tidak dipedulikan.
Ahli politik lebih ghairah bersiap untuk pilihanraya, membahagi- bahagikan kerusi, tawar- menawar jawatan dalam keadaan rakyat tercunyap -cunyap menghadapi kesempitan hidup.
Sedangkan ratusan juta wang rakyat dibelanjakan untuk mengendalikan pilihanraya yang berakhir dengan ahli politik mengkhianati mandat rakyat.
Penulis adalah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)
Foto Kredit: NSTP
(Artikel ini disiarkan tanpa suntingan dan ia tidak semestinya mewakili pendirian Malaysiapost)
