PKPD di Penjara Tapah, Kuarters Kakitangan Batang Padang dilanjutkan

0
1

Nilam Oshman

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak ditamatkan esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD di Sekolah berkenaan dijadualkan tamat pada 1 Mac 2021.

Katanya, dalam tempoh PKPD, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 582 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 16 kes direkodkan.

“KKM mengesahkan tiada kes aktif di lokaliti ini, keadaan adalah terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak pada 1 Mac 2021 seperti yang dijadualkan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan pelanjutan PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak mulai Selasa ini sehingga 15 Mac 2021.

Katanya, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan berkenaan yang dijadualkan tamat pada 1 Mac 2021.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 875 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 178 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“KKM mengesahkan masih terdapat sejumlah 505 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan penularan jangkitan masih berlalu dalam kalangan tahanan di penjara ini.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara Tapah & Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak bermula 2 sehingga 15 Mac 2021,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan PKPD di Asrama Pekerja Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Perak bermula esok sehingga 14 Mac.

Beliau berkata, KKM hari ini turut melaporkan situasi kes Covid-19 di Asrama terbabit.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan sebanyak 524 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 213 orang dilaporkan positif Covid-19.

“KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Asrama Pekerja Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Perak bermula 1 Mac sehingga 14 Mac 2021,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here