Pakej Permai: 45,000 pemandu e-hailing belum terima bantuan RM500 – Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KIRA-KIRA 45,000 pemandu e-hailing didakwa masih belum menerima pembayaran ‘one-off’ Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bermula 22 hingga 26 Februari lalu.

Presiden Umno, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jumlah tersebut termasuk pemandu-pemandu e-hailing yang menetap di luar Lembah Klang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, antara punca masalah itu adalah disebabkan syarikat e-hailing gagal mengenal pasti rekod dan data pemandu biarpun mereka berkelayakan. 

“Mereka maklumkan pada saya syarikat tidak mengemaskini sistem menyebabkan nama mereka tercicir,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru Kementerian Pengangkutan, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan pihak berkaitan agar mengkaji semula masalah ini. 

“Dalam situasi sekarang, RM500 begitu besar buat mereka yang memerlukan.

“Antara alasan lain adalah pemandu tidak memenuhi syarat pendapatan sekurang-kurangnya memperoleh RM700 bagi Oktober, November atau Disember 2021.

“Pemandu beritahu mereka gagal meraih pendapatan minimum itu disebabkan terpaksa duduk di rumah kerana tidak mahu berdepan risiko dijangkiti Covid-19,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap baki 45, 000 pemandu ini dapat dibantu termasuk pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran dan kereta sewa yang tercicir. -Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/26/pemotongan-komisen-20-peratus-bebankan-pemandu-e-hailing-zahid/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here