2 Ahli Parlimen PKR sokong Muhyiddin, bukti Kerajaan PN terdesak – Isham

0
1

LANGKAH dua Ahli Parlimen PKR melompat parti dan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin hari ini, didakwa didorong oleh keadaan terdesak Perdana Menteri untuk mengekalkan kuasa.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, Muhyiddin dan pengikutknya sanggup berbuat apa sahaja untuk berkuasa.

“Memandangkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan Parlimen boleh dibuka semasa darurat atas nasihat Perdana Menteri, dan tiada sebab kukuh untuk Perdana Menteri menangguhkan persidangan ini, maka Muhyiddin tahu dia tidak lagi boleh mengelak daripada berhadapan dengan ahli-ahli Parlimen dalam masa terdekat ini.

“Oleh itu, sebelum Parlimen dibuka, Muhyiddin perlu sekurang-kurangnya mendapatkan majoriti mudah 112 ahli Parlimen untuk menyokongnya daripada hanya 110 orang ahli Parlimen yang dia ada sekarang,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Isham berkata, tanpa majoriti, Muhyiddin tiada keabsahan terutama dari segi moral untuk berbuat apa-apa di Parlimen termasuk mengarahkan Speaker untuk tidak membenarkan usul undi tidak percaya terhadapnya.

“Dari dahulu kita telah lihat PPBM (Bersatu) inilah yang telah menjadi punca ketidakstabilan politik di Malaysia dengan banyak kejadian lompat-melompat parti dan mandat rakyat dikhianati.

“Sehingga hari ini mereka (Bersatu) telah menyebabkan sekurang-kurangnya 25 ahli Parlimen melompat parti, tidak termasuk dua ahli Parlimen yang melompat parti hari ini,” katanya.

Beliau berkata, selagi Bersatu berkuasa, politik di Malaysia tidak akan stabil dan mandat rakyat akan sentiasa dikhianati untuk kepentingan diri dan pengekalan kuasa serta jawatan mereka.

“Muhyiddin mungkin selamat hari ini dengan bantuan dua lagi ahli Parlimen khianat dan pelompat parti untuk menambah lagi jumlah pengkhianat dalam Bersatu dan PN. Namun esok lusa belum tentu lagi.

“Nasibnya akan ditentukan oleh rakyat dalam pilihanraya nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Isham berkata, tiapa siapa yang suka pengkhianat dan pelompat parti dan pastinya rakyat tidak lagi menyokong  Bersatu.

“Rakyat tidak suka dikhianati berulang kali. Keadaan ekonomi, pengurusan wabak dan kebajikan rakyat juga semakin teruk di tangan Bersatu.

“Lambat laun lebih ramai ahli Parlimen akan menarik balik sokongan daripada Muhyiddin berbanding dengan yang berjaya “dipujuk” melompat untuk menyokongnya.

“Langkah terdesak Bersatu ini hanya akan menyelamatkan mereka dengan sementara dan sedikit masa sahaja. Mereka tidak lagi ada banyak masa kerana kifarah mengejar mereka,” katanya.

Taerdahulu, dua Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri. 

Ahli Parlimen Julau Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau Steven Choong yang kini menjadi ahli Parlimen bebas, mengakhiri khabar angin berhubung kesetiaan mereka kepada presiden PKR. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:  https://malaysiapost.com.my/2021/02/28/muhyiddin-lega-dua-ahli-parlimen-pkr-sokong-pn/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here