MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, mengakui wujud tanggapan sinis masyarakat terhadap orang kenamaan dan petugas barisan hadapan kononnya hanya mengambil vaksin yang baik iaitu Pfizer.
Beliau berkata, tanggapan sinis itu wujud sejak beberapa hari lalu apabila bekalan vaksin pertama dari Amerika Syarikat (AS) itu tiba di Malaysia.
Sehubungan itu, beliau mengambil pendirian berbeza dengan menawarkan diri untuk mendapatkan suntikan vaksin, selain Pfizer bagi mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap setiap keberkesanan pelalian yang diluluskan.
“Saya sedar mengenai pandangan dan pendapat rakyat apabila Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kita, Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), Menteri Besar serta petugas barisan hadapan mula terima vaksin Pfizer.
“Mereka mula yakin Pfizer kerana tiada kesan sampingan direkodkan sehingga kini, tetapi rakyat kata, memanglah, sebab ambil barang baik.
“Justeru, saya buat keputusan untuk tidak ambil suntikan Pfizer kerana sudah terbukti selamat dan berkesan, sebaliknya biarlah ada dalam barisan Jemaah Menteri yang dapat vaksin lain,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Maka, katanya, beliau akan mendapatkan vaksin seterusnya yang diluluskan Bahagian Kawal Selia Farmasi Negara (NPRA), sama ada Sputnik, AstraZeneca atau Sinovac, saya akan ambil.
Bekalan vaksin kedua, iaitu Sinovac dari syarikat farmaseutikal di Beijing, China tiba di Malaysia jam 8.47 pagi tadi. – Malaysiapost
Artikel berkaitan

