
KELONGGARAN aktiviti dan tindakan kesihatan awam hanya akan dilakukan jika imuniti kelompok berjaya dicapai, tegas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Menurutnya, segala aktiviti dan kepatuhan kepada tindakan kesihatan awam wajar diteruskan walaupun fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah dimulakan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa meskipun aktiviti imunisasi Covid-19 fasa 1 telah mula dijalankan, segala aktiviti dan kepatuhan kepada tindakan kesihatan awam wajar diteruskan.
“Ini termasuk kawalan sempadan antarabangsa, pelaksanaan pelbagai prosedur operasi standard (SOP), aktiviti ujian dan saringan Covid-19 sama ada saringan di lapangan, pengesanan kontak rapat, pengasingan kes yang disyaki dan dijangkiti serta lain-lain tindakan kesihatan awam oleh pelbagai agensi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, impak tindakan-tindakan itu akan dinilai dari semasa ke semasa dan kemudiannya akan dibincangkan bersama oleh kerajaan semasa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Antara indikator utama yang digunakan dalam penilaian risiko ini adalah situasi semasa kes harian; tren dan nilai semasa R-Naught (Rt); tren dan situasi semasa kematian Covid-19; situasi penggunaan katil untuk kes Covid-19 (di PKRC, hospital, katil ICU dan kes ventilated); situasi semasa petugas kesihatan yang dijangkiti dan aktiviti ujian makmal dan survelan (RT-PCR dan RTK Antigen),” katanya.
Beliau berkata, keputusan untuk membenarkan pergerakan merentas negeri atau daerah misalnya adalah bergantung kepada penilaian beberapa faktor berkenaan dan ia memerlukan keputusan bersama pihak kerajaan.
“Buat masa ini, tindakan kawalan kesihatan awam masih perlu diteruskan di samping memastikan program imunisasi berjalan lancar.
“Oleh itu adalah penting bagi semua pihak (termasuk mereka yang telah menerima vaksin) untuk mematuhi sepenuhnya SOP sehingga imuniti kelompok tercapai,” katanya. – Malaysiapost
