MERASAKAN dirinya difitnah berhubung isu buku teks Sejarah Tingkatan 4 yang didakwa mengagungkan komunis, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini menuntut Ketua Pemuda Umno membuat permohonan maaf secara terbuka.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, pihaknya turut menuntut bayaran pampasan daripada Dr Asyraf Wajdi Dusuki kerana memfitnah dirinya.
“Saya telah mendapat nasihat daripada peguam dan mengarahkan peguam saya untuk menghantar surat tuntutan kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi di atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan.
“Saya memberi arahan kepada peguam supaya surat tersebut menuntut Dr Asyraf Wajdi membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana memfitnah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, budaya politik fitnah jahat itu perlu dihentikan kerana ia sedikit pun tidak menguntungkan rakyat.
Beliau berkata, sepatutnya sekarang ahli politik fokus membantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan menfitnah sesuka hati.
“Saya harap tindakan ini menyedarkan semua pihak, tidak kira dari parti mana, budaya fitnah jahat berunsur perkauman perlu segera dihentikan, apatah lagi ia melibatkan pendidikan negara, pendidikan anak-anak kita.
“Sebarang perkembangan terkini, akan saya maklumkan. Terima kasih semua yang menyokong usaha ini,” katanya.
Dr Maszlee berkata, pihaknya percaya rakyat sudah muak dan tidak suka dengan budaya politik sedemikian, apatah lagi ia boleh menggugat perpaduan kaum di negara ini.
Beliau semalam memaklumkan ramai pihak memintanya memfailkan kes saman fitnah terhadap Ketua Pemuda dan Setiausaha Agung Umno.
Ia susulan kenyataan Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung buku teks Sejarah Tingkatan 4 didakwa mengagungkan komunis yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika era kerajaan Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

