Tidak salah belajar dari kesilapan – Ismail Sabri

0
1

Nurul Huda Abhar

DALAM mencari kepercayaan rakyat, Umno perlu belajar daripada kesilapan di mana parti itu pernah tersilap membuat percaturan sehingga tersungkur pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tidak salah untuk Umno akui kesilapan dan belajar daripadanya agar dapat membina kembali keutuhan parti.

“Ingatlah, lidi yang sebatang, terlalu mudah dipatahkan namun jika menjadi seberkas, ia menjadi kuat dan kukuh.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menolak politik kebencian dan fitnah serta harus mencari satu permulaan baru kepada Malaysia yang lebih baik dan aman dalam norma baharu pasca Covid-19.

“Saya amat yakin dengan segala sejarah dan peristiwa lepas yang telah menjerumuskan kita dalam rekah kebinasaan sebuah negara majmuk seketika itu, menjadikan kita lebih matang dan rasional dalam menentukan hala tuju negara demi masa depan generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, Umno harus memperkukuhkan perpaduan bangsa Melayu Bumiputera dan beliau sendiri konsisten untuk bercakap dan memperjuangkan bangsa Melayu disamping menghormati rakan-rakan kaum lain.

Menurutnya, kepelbagaian kaum di Malaysia merupakan satu keunikan yang tidak dapat dihayati di negara atau tempat lain kerana semangat saling menghormati antara kaum dan agama merupakan lambang kemajmukan Malaysia.

“Namun 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara, kemajmukan ini seakan cuba dirobek apabila hak keistimewaan orang Melayu Bumiputera diganggu. Mana mungkin kita lupa kesengsaraan yang dilakukan oleh PH sepanjang mereka menjadi pimpinan negara sehinggakan ramai pelabur mula menarik diri.

“Justeru, ingin saya tekankan betapa pentingnya Melayu Bumiputera bersatu dalam menghadapi dunia politik yang semakin mencabar. Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menolak bahawa PRU-15 sudah tidak lama,” ujarnya lagi.

Katanya, Umno harus terus memperkukuhkan parti dan memastikan tiada lagi perpecahan yang terjadi kerana ia akan membuatkan bangsa Melayu lemah dan akhirnya peristiwa 22 bulan di bawah PH berulang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here