
TAK salah berharap, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek susulan kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang berharap Umno kekal dalam Perikatan Nasional (PN).
Namun, bekas Ahli Parlimen Kemaman itu berkata, dalam sejarah politik Malaysia, kestabilan perlukan parti yang dominan.
“PH (Pakatan Harapan) gagal kerana tak ada yang dominan. Bila sama kuat, banyak bercakaran sama sendiri. Kerja tak jalan. Merajuk dan letak jawatan.
“Bersatu bila pegang jawatan tertinggi mesti mainkan peranan sebagai parti dominan. Kena jaga kebajikan rakyat. Bukan sahaja melalui kerajaan tetapi juga melalui parti,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad Shabery juga meminta pihak berkaitan membandingkan peranan yang sentiasa dibuat oleh Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di semua peringkat.
Katanya, sepatutnya Srikandi Bersatu (Datuk Seri Rina Mohd Harun) yang ketuanya Menteri menjaga kebajikan, lebih sibuk gerakan sukarelawan dan wanita partinya membantu rakyat susah seluruh pelusuk negara.
“Parti dominan kena jaga kawan. Dulu waktu MCA susah, Umno bersusah payah menstabilkannya. Bukan hantar orang cucuk supaya gaduh sama sendiri. Tun Ghafar pernah jaga MCA 10 bulan sewaktu krisis Neo Yee Pan – Tan Koon Swan (1983) sehingga pulih.
“Kerajaan BN (Barisan Nasional) perkasakan TAR (Tunku Abdul Rahman) College anjuran MCA, kerana orang Cina sangat beratkan hal pendidikan. Bila DAP hentikan bantuan TAR College, orang Cina hukum PH di Tanjung Piai.
“Hari ni ramai dah persoalkan kenapa Parlimen digantung? sekolah dah boleh, restoren dah boleh. Kenapa Parlimen tak boleh? Apakah sebab nak elak pembangkang atau nak elak Umno? kan kita parti bersahabat?,” katanya.
Terdahulu Wan Ahmad Fahysal dilaporkan berkata, sekiranya berlaku pertembungan dalam Pilihan Raya nanti, ia akan merugikan ketiga-tiga parti besar dalam PN.
“Walau apapun, …kita masih terbuka untuk menerima malah mengharapkan Umno bersama-sama dengan PN agar pertandingan tiga penjuru dapat dielakkan.
“Kita perlukan kerajaan yang stabil, kalau kita bertembung di kerusi majoriti Melayu, kerugian kepada kedua-dua belah pihak (Bersatu dan Umno).
“…dan apa yang kita harapkan tidak akan tercapai. Ini perkara yang kita perlu sama-sama fikir, …yang Umno perlu fikirkan bahawa zaman di mana sebuah parti politik mendominasi politik Malaysia sudah tamat,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/23/pru15-armada-harap-umno-bersama-pn-elak-pertandingan-3-penjuru/
