
MAJLIS Raja-raja akan memutuskan status ajaran Islam Melayu yang didakwa dibawa oleh Wan Noor Hayati Wan Alias atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati.
Perkara itu dimaklumkan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) setelah selesai bermuzakarah bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri mengenai ajaran berkenaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, keputusan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke -118 sudah pun diserahkan kepada Majlis Raja-raja Melayu dan menunggu keputusan untuk diumumkan.
“Kita telah bincang dalam muzakarah pada minggu lepas. Saya tidak boleh komen lagi. Kita akan bawa ke Majlis Raja. Kita ada bincang,” katanya seperti dilapor Malaysia Gazette.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Jakim akan melakukan muzakarah sebelum memfatwakan sesuatu ajaran itu sebagai sesat atau sebaliknya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/02/polis-buka-kertas-siasatan-kes-agama-melayu/
