Dilarang naik feri kerana alasan tertinggal surat rentas daerah

0
1

SURAT rentas daerah tertinggal dalam kereta, itu antara alasan yang diberikan oleh enam penumpang feri yang gagal menunjukkan surat kebenaran rentas daerah di Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi tadi, enam penumpang termasuk empat sekeluarga cuba menaiki feri penumpang bagi perjalanan dari Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pemeriksaan dilakukan anggotanya turut mendapati alasan yang diberi mereka juga tidak munasabah.

Katanya, antara alasan diberi adalah surat kebenaran tertinggal di dalam kereta yang diletak di Kuala Kedah ketika datang ke Langkawi.

“Berikutan itu, semua penumpang dewasa berkenaan tidak dibenarkan menaiki feri penumpang dari Langkawi ke Kuala Kedah kerana didapati tidak memohon surat kebenaran.

“Malah mereka tidak cuba mendapat surat kebenaran dari Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi untuk balik semula ke Kuala Kedah,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Terdahulu Shariman mengetuai Operasi Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan Permit Rentas Daerah bersama anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di Terminal Feri Kuah.

Shariman berkata, semua penumpang yang dikesan melanggar SOP kemudian diarah berpatah balik dan menguruskan dokumen diperlukan terlebih dahulu. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here