KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang dibentuk setahun lalu, ditubuhkan dengan kelebihan satu undi sahaja ketika itu, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid mendedahkan perkara itu dengan menjelaskan hanya 113 Ahli Parlimen bersetuju mendukung pembentukan kerajaan PN susulan runtuhnya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam satu gerakan politik dikenali ‘Langkah Sheraton’.
Katanya, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah tidak pernah menyatakan sokongan terhadap Kerajaan PN sejak dari awal pembentukannya.
“Ertinya kelebihan satu kerusi manakala seorang ahli Parlimen daripada Umno iaitu ahli Parlimen Gua Musang tidak pernah menandatangani sebarang akujanji untuk memberikan sokongan kepada Perdana Menteri sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif menerusi program Sudut Pandang yang disiarkan Malaysiapost, malam tadi.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan, Kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terbentuk hasil sokongan dan dokongan 43 ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) serta 18 ahli Parlimen PAS.
Menurutnya, sokongan Umno dan BN ketika itu adalah untuk menyelamatkan negara dengan bersetuju mencalonkan Muhyiddin yang telah meninggalkan PH sebagai Perdana Menteri yang baru.
“(Ini) disertai oleh penghijrah-penghijrah politik seramai 15 orang daripada Umno serta muhajirin daripada sebuah parti yang dahulunya dalam PH yang akhirnya dengan dokongan 61 ahli Parlimen dari Muafakat Nasional telah dapat membentuk kerajaan ada sekarang ini,” katanya.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, rakyat wajar mengetahui bagaimana peranan dan pengorbanan Umno dan BN sehingga wujudnya kerajaan PN.
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut memulangkan ‘paku buah keras’ kepada pihak tertentu kononnya Umno dan BN patut bersyukur dan berterima kasih kerana PN telah berjaya menyelamatkannya dari terus menjadi pembangkang.
“Dengan 43 sokongan ini tentunya kita harus mengetahui siapa yang patut bersyukur, siapa yang patut berterima kasih dengan pembentukan kerajaan yang ada sekarang,” katanya sinis.
Malaysia memiliki 222 kerusi Parlimen, oleh itu majoriti mudah iaitu 113 kerusi parlimen diperlukan untuk membentuk kerajaan pemerintah. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

