Golongan rentan dijadual terima vaksin bermula April – Rina

0
2

GOLONGAN warga emas berusia 60 tahun ke atas dan warga berisiko tinggi serta Orang Kurang Upaya (OKU) dijadualkan akan menerima vaksin Covid-19 bermula April hingga Ogos ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata kumpulan rentan itu akan mendapat suntikan vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa 2.

“Alhamdulillah, saya turut bersyukur bahawa kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech telah selamat tiba ke negara kita.

“Insya-Allah, kumpulan warga emas berumur 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi serta OKU dijadualkan akan menerima vaksin pada Fasa 2 yang difahamkan pada April hingga Ogos 2021,” katanya dalam satu hantaran di Facebook malam tadi.

Rina berharap agar setiap rakyat Malaysia terus menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kerana ia amat penting untuk semua bagi membentuk imuniti berkelompok dalam membendung penularan jangkitan wabak berkenaan daripada menjadi lebih teruk dengan memutuskan rantaiannya.

“Syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) dan semua pihak serta agensi yang terlibat, khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pengangkutan, dan Malaysia Airlines Berhad yang telah memastikan bekalan vaksin selamat tiba di Malaysia,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here