Selepas Ustaz Ahmad Husam Baderudin tidak dibenarkan berceramah, bekas Mufti Kedah mahu berhenti berdakwah?
Itu persoalan yang bermain-main dalam pemikiran netizen selepas Ustaz Husam berkongsi hantaran di Facebook miliknya dengan memaklumkan bapanya, Datuk Sheikh Muhammad Baderudin Ahmad meluahkan hasrat untuk berehat dari aktiviti ceramah agama serta berkaitan isu tauliah mengajar agama yang tidak diperolehi olehnya.
“Pagi tadi selepas solat subuh ayahanda call ajak sarapan pagi sekali di rumahnya.
“Apabila sampai, nampak beliau masih di atas sejadah menunaikan solat Dhuha selepas membaca al-Quran yang menjadi rutin harian beliau.
“Masa dok sarapan, beliau meluahkan hasrat beliau untuk berhenti menyampaikan segala ceramah dan kuliah di seluruh negeri kedah, selepas 51 tahun beliau sudah bermusafir dalam berdakwah,” katanya.
Beliau berkata, alasan bapanya itu adalah penat, mahu berehat dan menumpukan bagi mengajar di suraunya sahaja.
Sehubungan itu, Ustaz Husam memohon doa semua agar ayahandanya membatalkan hasrat itu.
“Satu kerugian besar kalau beliau berhenti berdakwah dalam negeri kita ini,” jelasnya.
Pada 10 Februari lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) mengeluarkan surat menyatakan Ustaz Husam tidak memiliki tauliah mengajar agama Islam di Kedah.
Secara tidak langsung, penceramah itu tidak dibenarkan menyampaikan sebarang aktiviti kuliah dan mengajar agama melainkan beliau sudah mendapatkan tauliah tersebut.
Oleh itu, menerusi kenyataan di laman sosial itu, Ustaz Husam menjelaskan isu berkenaan.”Risau dan bimbang melihat sesetengah sahabat meninggalkan ulasan di ruangan komen berkaitan isu ana (saya) Ini.
“Baik ana komen sedikit sahaja untuk maklumat bersama, ana memiliki beberapa dokumen sah dari pihak berwajib agama negeri kedah mengenai ‘kebenaran menyampaikan ceramah dan kuliah pengajian’ di seluruh negeri Kedah yang mana selari dengan enakmen.
“Mesti ada yang tanya, kalau dah ada kenapa tidak tunjuk? Jawapannya ana nak tunjuk kepada siapa? Tidak ada pihak yang menghubungi ana langsung untuk bertanya dan meminta apa-apa…dah tidak ada sesiapa yang minta, jadinya kepada pihak mana yang saya hendak tunjuk?,” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan jika bukti ditunjuk di media sosial, Boleh selesai ke isu ini.”Jenuh macam tu…lepas ni ada orang kata Ustaz Husam menikah tidak ada sijil nikah, kita snap gambar sijil nikah bubuh dalam FB, ada pula kata Ustaz Husam memandu tidak ada lesen, kita snap gambar lesen memandu letak dalam FB,” perlinya.
Beliau berpandangan bukti ini perlu diberikan kepada pihak yang berwajib sahaja.”Itulah sebab ana tidak mahu memanjangkan isu, biarlah ana beralah untuk kebaikan.
“Insya-Allah segala dokumen ini dah ana siapkan jika ada pihak yang meminta.”Status ini ana terpaksa buat untuk memaklumkan kepada sahabat-sahabat yang prihatin dalam isu ini agar tidak komen sehingga jatuh menjadi dosa,” katanya. – Malaysiapost

