Nilam Oshman
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan, Taiping, Perak ditamatkan esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 482 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 142 kes sudah direkodkan.
“KKM mengesahkan baki kes positif di lokaliti ini menunjukkan trend penurunan dan tiada lagi sampel saringan sedang menunggu keputusan.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Penjara Taiping dan Kuarters Kakitangan, Taiping pada 22 Februari seperti yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, asrama, kilang dan tapak binaan Central Medicare, Hilir Perak pula dikenakan PKPD bermula esok sehingga 7 Mac depan.
Katanya, KKM hari ini turut melaporkan situasi kes Covid-19 di kawasan terbabit.
“Sehingga 19 Februari 2021, KKM telah melaksanakan sebanyak 1,966 ujian saringan dan daripada jumlah itu seramai 185 orang telah dapati positif Covid-19.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokaliti itu,” katanya.
Tambahnya, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas hampir 2,808 orang pekerja warganegara serta bukan warganegara yang tinggal di lokaliti itu dan seterusnya untuk mengawal jangkitan dalam komuniti. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/17/pkpd-saringan-besar-besaran-di-felda-triang-3/

