
SEKOLAH menyediakan bilik khas, isolasi, alternatif termasuk transit bagi memastikan calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bermula Isnin ini berada dalam keadaan selamat dan selesa.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin berkata, calon itu akan ditempatkan di ruang peperiksaan mengikut situasi semasa, termasuk tahap risiko penularan jangkitan Covid-19.
“Pelajar tiba ke sekolah kena periksa suhu dahulu. Kalau 37.5 darjah Celsius, ada tindakannya termasuk tidak boleh masuk dewan peperiksaan. Selepas itu, kena isi borang deklarasi apakah ada kontak rapat dan simptom?
“Masuk ke dewan peperiksaan kalau dulu jarak 0.8 meter di antara meja. Sekarang ini jaraknya 1.5 meter. Kalau dulu mungkin hanya ada satu dewan peperiksaan. Sekarang ini selain dewan itu, kita ada bilik khas untuk murid diasingkan jika ada gejala.
“Contohnya, kalau pelajar itu ada batuk sedikit, tetapi suhunya ok, 36 (darjah celsius). Kalau ada risiko, sekolah ada bilik khas,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Mengulas bilik isolasi, Radzi berkata, ini akan memainkan peranan ketika berlaku kejadian tidak diingini di dewan peperiksaan.
“Contoh, ketika peperiksaan berjalan, kita terima maklumat ada calon kena asingkan dari calon lain di dewan itu. Ada juga (pindahkan ke) bilik isolasi.
“Lepas itu ada bilik alternatif. Kalau ada apa-apa berlaku di dewan peperiksaan utama, ke mana kita nak pindahkan pelajar terbabit?
“Ada bilik transit, calon sesi pagi habis duduki satu kertas peperiksaan dan kena tunggu sampai petang. Mereka boleh duduk di bilik transit yang memastikan penjarakan fizikal,” katanya.
Seramai 401,105 calon SPM 2020 akan menduduki peperiksaan itu bermula Isnin ini.
Kumpulan pelajar Tingkatan Lima terbabit mengikuti sesi kelas tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan, namun pembelajaran bersemuka paling singkat dengan hanya sekitar empat bulan. -Malaysiapost
