PERSIAPAN akhir bagi menerima bekalan pertama vaksin Covid-19, dari syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech pada Ahad ini, berjalan lancar.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Kementerian Kesihatan (KKM), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim berkata persiapan rapi termasuk sesi latihan yang dilaksanakan sebelum ini, merangkumi proses penghantaran vaksin ke fasiliti penyimpanan dan ke negeri lain juga lancar.
Katanya, petugas kesihatan terbabit dalam prosedur suntikan turut diberikan latihan secukupnya.
“Melalui ‘dry-run’ (latihan) ini, kita dapat kenal pasti masalah yang dihadapi dan penyelesaiannya. Pada hari ketibaan vaksin itu nanti, semuanya diharapkan akan berjalan dengan lancar.
“Bahagian perolehan KKM juga mendapat bekalan 55 peti penyejuk beku untuk menyimpan vaksin dan ditempatkan di pusat-pusat simpanan vaksin yang dikenal pasti,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata, persiapan logistik KKM juga sudah bersedia sepenuhnya menerusi atur gerak yang dilaksanakan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, bagi memastikan vaksin disimpan dengan baik.
Selain itu, Dr Hishamshah berkata, peti simpanan suhu ultra rendah yang sedia ada ditempatkan di kemudahan penyimpanan vaksin KKM dan kemudahan Angkatan Tentera Malaysia, sebagai tambahan bagi peti penyimpanan vaksin.
Selasa lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech Ahad ini dan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi fasa pertama akan bermula pada 26 Februari. – Malaysiapost

