PENDAKWAH, Ebit Lew merancang membeli gudang ataupun tanah di sekitar Alor Setar, bagi menempatkan anjing dan kucing dari Pusat Pengurusan haiwan terbiar, Pak Mie Shelter.
Beliau menyifatkan Pengurus Pak Mie Shelter, Allahyarham Halijah Idris, 73, yang meninggal dunia seminggu lalu akibat kanser ovari dan anak-anaknya yang menguruskan pusat haiwan itu sebagai insan yang terpilih.
“Kasihan tengok 300 ekor anjing dan 130 kucing yang ada kat sini. Mak Intan (Allahyarham Halijah) baru saja meninggal dunia minggu lepas kerana kanser.

“(Selama) 30 tahun kutip anjing dan kucing sakit. Ubati, beri makan, dan tempat tinggal. Ramai yang hantar pada mereka. Kini seminggu anaknya menyambung usaha ibu bapa mereka. Beri makanan untuk anjing dan kucing ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebooknya.
Ebit memaklumkan beliau telah berbincang dengan anak-anak Mak Intan dan menjelaskan mahu membantu keluarga berkenaan.
“Tadi berbincang dengan keluarga arwah Mak Intan. Baik anak-anak Mak Intan. Terpilih buat kerja begini. Dah lewat petang. Saya nak ‘sponsor’ tempat bagi semua anjing dan kucing ini.
“Terima kasih semua yang menyokong perjuangan Mak Intan dan keluarga. Terima kasih semua pimpinan masyarakat dan masyarakat sekitar,” katanya.
Pada 29 Januari lalu, media melaporkan Pak Mie Shelter yang menguruskan hampir 400 anjing dan 180 ekor kucing di Jalan Tanjung Bendahara, Alor Setar pening memikirkan lokasi baharu apabila diarah berpindah oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Pemindahan perlu dilakukan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembetungan Kota Setar.
MBAS melalui kenyataan pada 11 Februari lalu berkata, pusat itu akan dipindahkan ke penempatan sementara di Jeragan di atas tanah miliknya dan Pak Mie Shelter diberi hak untuk mengurus tadbir tapak sementara pusat pemeliharaan anjing dan kucing ini selama tempoh enam bulan bermula 15 Februari hingga 14 Ogos. – Malaysiapost

