GARA-GARA dipukul dengan sebatang penyapu, seorang lelaki hilang penglihatan mata sebelah kanan buat selama-lamanya.
Mata sebelah kanan lelaki itu menjadi buta setelah dipukul oleh rakan sekerjanya sendiri kerana didakwa tidak berpuas hati terhadap gelagatnya yang tidak melawan ketika dimarahi dalam satu insiden, dua bulan lalu.
Insiden itu disahkan Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak yang berkata, lelaki itu telah dicederakan di tempatnya bekerja di Ladang Sawit Benonok.
Katanya, sebelum pergaduhan tersebut, lelaki itu dan rakannya yang berjawatan sebagai mandor telah minum minuman keras.
“Suspek kemudian mencabar mangsa untuk bergaduh dengannya dan berkata “Kau memang tidak berani bah kan, mari la saya test kau..” sambil suspek mematahkan sebatang penyapu.
“Selepas mangsa nampak suspek memegang sebatang penyapu yang telah dipatahkan oleh suspek tadi, mangsa berdiri untuk beredar dari rumah suspek.
“Semasa mangsa hendak keluar dari rumah tersebut, suspek tiba-tiba memukul mangsa di bahagian muka dan terkena di bahagian mata sebelah kanannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun menurut Azmir, tiada saksi yang nampak kejadian mangsa dipukul kerana hanya mereka berdua sahaja berada di dalam rumah tersebut.
Azmir juga berkata, ibu mangsa telah membuat laporan polis setelah doktor mengesahkan mangsa mengalami kecacatan buta mata kanan yang kekal.
Mangsa masih lagi menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.
Susulan daripada laporan itu, katanya, polis telah menangkap seorang lelaki di Jalan Kompleks Sukan Beaufort semalam.
“Suspek tidak mengaku memukul mangsa dan siasatan masih diteruskan,” katanya. – Malaysiapost

