SEMUA pihak diminta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kerjasama antara Bersatu, Umno dan Pas, kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mengingatkan Bersatu tidak bertanding di kerusi dimenangi Umno Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada PRU akan datang.
Wan Saiful berkata, tindakan Saarani memberi kata dua kepada Bersatu adalah satu perkara yang malang kerana ia tidak membawa apa-apa manfaat atau kebaikan kepada perpaduan politik orang Melayu.
Beliau berkata, kenyataan Saarani yang juga Menteri Besar Perak itu dilihat boleh menjejaskan perpaduan serta persefahaman yang telah wujud.
“Bersatu selama ini tidak membangkitkan isu berkaitan kerusi yang hendak dipertandingkan dalam PRU. Kita sentiasa berpegang dengan pandangan biarlah perkara sebegini diselesaikan secara harmoni di meja rundingan.
“Jangan sesiapa pun menjadi ejen perpecahan. Soal kerusi biarlah kepemimpinan tertinggi Bersatu, Pas dan Umno berbincang mengenainya.
“Sekarang ini, rakyat sedang susah. Mengapa perlu dibangkitkan soal kerusi ketika rakyat perlukan bantuan? Kita patut kuatkan kerjasama untuk menangani masalah rakyat. Bukannya sengaja mahu bawa pecah belah. Kalau kita berpecah, yang akan bergembira hanya musuh-musuh politik kita,’’ katanya seperti dilaporkan portal Bersatu.org.
Saarani dalam wawancara bersama Sinar Harian berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Umno sebelum ini, kekal ditandingi parti itu PRU-15 nanti. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

