TINDAK tanduk beberapa menteri yang didakwa tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mendapat kecaman daripada pemimpin politik pembangkang.
Terbaru menerusi ciapan Twitter, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan memilih bulu dalam melaksanakan hukuman terhadap individu yang melanggar SOP yang dimaktubkan.
Malah, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai membidas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak bertindak tegas terhadap para menteri kabinetnya yang telah melakukan kesalahan ketika PKP berlangsung.
“PM (Perdana Menteri) buat apa bila menteri-menteri langgar SOP? Setiap petang terpekik terlolong minta rakyak patuhi SOP.
“Kerajaan apa ni? Cukup-cukup lah menghambakan rakyat dengan SOP yang semakin celaru dan perangai menteri-menteri yang macam Hitler,” ciapnya.
Semalam, tular di laman sosial memaparkan Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa sedang menikmati juadah secara berkumpulan di program Kebun Komuniti Bandar (Urban Farming) PPR Seri Malaysia Kuala Lumpur.
Namun Ahli Parlimen Ketereh itu memohon maaf dan mengakui hanya duduk sekejap lalu berpindah ke tempat lain apabila menyedari penganjur tidak mengikut SOP.
Terdahulu, Malaysiapost melaporkan Annuar bagaikan tidak serik apabila sekali lagi didakwa tidak mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sebelum ini, Annuar pernah dilihat bergambar bertiga ketika bersenam namun dinafikan bahawa ianya tidak disengajakan kerana terserempak di tengah jalan ketika masing masing sedang melakukan aktiviti yang sama. -Malaysiapost
Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/02/13/annuar-musa-kantoi-langgar-sop-lagi/

