PENJAWAT awam antara 10 individu yang ditahan ketika sedang leka berhibur di sebuah inap desa di Kampung Benggali, Pulau Pinang di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata serbuan dijalankan pada jam 1.10 pagi hasil maklumat awam dan risikan pihaknya mengenai kegiatan parti liar yang dipercayai diadakan di inap desa berkenaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lapan lelaki serta dua wanita yang kesemuanya berusia 21 hingga 31 tahun sedang berhibur di kediaman terbabit.
“Kumpulan itu dipercayai menyewa inap desa berkenaan untuk berparti liar dan minum air ketum kerana dalam pemeriksaan di rumah terbabit kami turut menemukan enam bungkusan serta sebotol air ketum.
“Mereka turut menjadikan rumah itu seperti pusat hiburan dengan memasang muzik kuat untuk berhibur,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati mereka menyewa pangsapuri itu untuk tiga hari dua malam dengan bayaran RM300 bagi dijadikan tempat berhibur dan mengelak dikesan pihak berkuasa terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Semasa serbuan awal pagi tadi, mereka baharu satu hari menginap di situ untuk berparti liar dan setakat ini ujian air kencing semua mereka didapati negatif,” katanya.
Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang penjawat awam yang bekerja di sebuah hospital, selain selebihnya adalah peniaga, pekerja kilang, pekerja kurier dan pekerja syarikat swasta.
Katanya, selain dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar PKP semua mereka turut direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 iaitu memiliki air ketum. -Malaysiapost

