GAGAL mematuhi arahan penjarakan fizikal merekodkan bilangan kesalahan tertinggi ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sarbri Yaakob berkata, sebanyak 253 individu dikesan melakukan kesalahan itu daripada jumlah keseluruhan 877 individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Daripada 877 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 806 telah dikenakan kompaun manakala 71 direman.
“Antara kesalahan lain yang turut direkodkan adalah rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (177); aktiviti pusat hiburan (101); tidak memakai pelitup muka (98); gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (82) dan lain-lain (166),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, semalam sebanyak 73 operasi sanitasi telah dilaksanakan meliputi 31 zon merah, enam zon jingga dan lima zon kuning di seluruh negara.
“Secara kumulatifnya, sebanyak 16,235 operasi sanitasi yang merangkumi 146 zon telah dilakukan sejak 30 Mac 2020.
“Operasi sanitasi telah melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk PPR, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan,” katanya.-Malaysiapost

