Gangguan seksual: PDRM tarik tugas 2 anggota

0
1
bernama

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menarik tugas serta merta dua anggotanya yang didakwa terbabit dalam kejadian gangguan seksual terhadap pemandu wanita di dua sekatan jalan raya (SJR), kelmarin.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya berkata, tindakan itu dibuat ke atas mereka sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Polis pada masa ini menjalankan siasatan secara menyeluruh selepas kejadian berkenaan dilaporkan oleh dua wanita berkenaan termasuk sudah merakam kenyataan daripada mereka.

“Dalam siasatan ini, kami ingin mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai apa yang sebenarnya berlaku dan proses siasatan ini dijalankan secara telus dan teliti,” katanya seperti dilapor BH.

Zamri berkata, siasatan kes itu dibuat mengikut prosedur dalam penyiasatan termasuk mencari saksi lain atau rakaman yang dapat mengesahkan dakwaan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut meminta mana-mana pihak yang mengalami situasi sama untuk tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil.

“Pegawai dan anggota polis pula perlu bersikap profesional, tidak boleh berbuat sesuatu atau mengeluarkan percakapan yang tidak berkaitan dengan tugas rasmi yang sedang dijalankan pada masa bertugas,” katanya.

Semalam, tular kes wanita diganggu di SJR selepas kedua-dua mereka dikesan memuat naik situasi yang dialami ketika melalui SJR menerusi akaun sosial Twitter dan Instagram milik mereka.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Sabiyusof memaklumkan, ditahan selepas tidak membawa lesen memandu ketika melalui SJR di Jalan Duta, Kuala Lumpur yang dalam perjalanan pulang ke Shah Alam selepas mengambil barang di Wangsa Maju.

Dia juga turut diminta mengemukakan surat kebenaran untuk pergerakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun menunjukkan kebenaran itu dalam sistem menerusi dalam talian dalam telefon bimbit miliknya.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan, seorang daripada dua anggota polis yang memeriksanya bertanya soalan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak, selain turut menawarkan pelepasannya sekiranya dia menunjukkan sama ada dia memakai pakaian dalam atau tidak.

Wanita itu kemudian enggan menuruti permintaan itu dan meminta anggota polis terbabit mengeluarkan saman.

Dalam satu lagi kejadian di Pulau Pinang, seorang anggota polis menghubungi wanita yang baru diperiksanya ketika melalui SJR dengan tujuan ingin berkenalan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here